Dec 1, 2011

azab anak derhaka......~perkongsian cerita di hari jumaat~

 Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya.
   Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan
   sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung
   lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di
   sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang
   menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak
   tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal
   menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat
   sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta
   sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
  
 "Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya
   dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik
   saya macam ni," kata salah seorang abang kepada Jalal
   sebaik melihat saya sampai.
  
   Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon
   meminta saya segera datang untuk membantu menyembuhkan
   penyakit adik bongsu mereka itu.
  
 "Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor
   pun tak tau."
  
   Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal
   menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas
   di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan
   menyedihkan.
  
 "Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak,
   sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya."
   Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh
   Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang
   marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak
   akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad
   berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu
   menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang
   menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula
   kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?
  
 "Panggil ibunya segera," kata saya.
  
   Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga
   Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau
   berpandangan sesama sendiri.
  
 "Kenapa ni?" tanya saya.
  
   Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami
   baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas."
  
 "Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin
   Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya,
   sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa.
   Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat
   membantu," kata saya berterus terang.
  
   Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal
   semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya
   kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya
   boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan
   kesakitan Jalal.
  
 "Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah
   berlaku."
  
 "Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada
   arwah ibu kami," jawab salah seorang daripada
   mereka.
  
   Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal
   menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya,
   kisah yang cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal
   adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat
   perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka,
   Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi.
   Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia bekerja dan
   seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan
   dan menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran
   ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan.
   Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya. Walaupun
   berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan
   wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya.
   Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga.
   Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan
   jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya
   adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak di
   syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak
   berubah, malah menjadi semakin parah. Walau di
   syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan
   menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia
   meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula
   meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas
   sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih
   tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula
   kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi
   menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya
   supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada
   bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh
   bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum  
   itu.
  
 "Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi
   RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya
   kasar.
  
 "Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik
   kamu," jawab si = ibu.
  
 "Ahhh, saya tak kira."
  
 "Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti
   bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar
   hutang," jawab ibunya.
  
   Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal
   tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada
   bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih
   bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau
   dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang
   ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di
   situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir
   dengan tragedi yang amat menyedihkan. Ketika
   kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya
   sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk
   di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang
   ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan
   diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara
   Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya.
   Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal
   dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal.
   Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu
   selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital
   kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang
   membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit
   yang dihadapinya. Jalal sebaliknya meraung, menjerit,
   meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya
   itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana
   tidak sanggup menanggung azab yang pedih.
   Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga
   saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat
   tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di
   katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk
   menidurkannya.
  
 "Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata
   saya.
  
   Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan
   surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja
   ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya
   menggeletik dan menggelepar kesakitan.
  
 "Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan
   bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke
   situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya
   emak, ampunkan saya, saya bersalah."
  
   Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang
   dimaksudkannya dengan 'ke situ'? Kenapa Jalal tidak
   mahu dibawa 'ke situ' dan apa yang dilihatnya di
   situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal
   terpaksa dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat
   ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal
   masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang.
   Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika
   Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah
   nyawanya masih panjang. Kalau tidak..." Ketika itu
   lebih kurang pukul 10 pagi.
  
   Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu,
   telefon bimbit saya berdering.
  
 "Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si
   abang.
  
   Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya,
   saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti
   sudah di penghujungan. Keluarganya semakin cemas
   sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya
   bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas
   serta asma ul husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti
   meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika.
   Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat
   suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka.
   Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh
   jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang
   menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak
   terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga
   najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi
   seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci
   Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat
   menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh,
   najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di
   dalam tubuh terhambur keluar secara serentak. Di
   bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut
   keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di
   bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur
   memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian
   dan katil basah dengan air mata, peluh serta
   najisnya. Selepas 'rentapan' itu, Jalal tidak  
   bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia
   pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan
   amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.
  
   Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara
   keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama
   sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak
   sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah
   sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang
   dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang
   dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal
   tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun
   saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi
   saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan
   sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati
   saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah
   berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang
   amat sangat. Matanya terbonjol seperti hendak
   terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut
   wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja
   menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya
   cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak
   mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang
   tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata
   putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan
   Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki
   Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya
   menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh
   dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan
   membonjol di celah kelengkangnya. Saya menenangkan
   mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah
   terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham,
   jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu
   menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah
   sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai
   barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum
   berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham
   keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba
   keempat-empat shock absorbernya patah secara
   serentak. Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang
   badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan
   kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah
   shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil
   kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar,
   apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami
   rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh
   kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi
   masalah timbul - tidak ada van atau  kereta yang
   berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan
   sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir
   ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan
   lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa
   yang membingungkan kami ialah walaupun mayat
   berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak
   pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham
   sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya
   dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan
  
   di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada
   saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya
   tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham
   berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke
   atasnya.
  
   Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon
   daripada keluarga Allahyarham.
  
 "Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan
   daripada ustaz."
  
 "Apa masalahnya itu?" tanya saya.
  
 "Kubur adik saya berlubang ustaz."
  
   Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah
   tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya.
   Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu
   disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan.
   Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur
   hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang
   lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka
   mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya
   kubur tersebut berlubang semula.
  
 "Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan
   ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang
   lagi," kata saya.
  
   Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham
   menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan
   berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di
   kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih
   tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu
   dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang
   ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan
   pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan.
   Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
  
 "Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah
   majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap
   seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila
   selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya
   diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam
   bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."
  
   Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan
   mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu,
   imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan.
   Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan
   tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku
   empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata
   saya. Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap
   kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan
   kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita
   berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika
   orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah
   keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal
   dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir
   hayatnya.
  
   Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan
   Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita
   dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar.
   Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah.

No comments: